Tuesday, November 17, 2009

Perpisahan itu suatu kesukaran

Assalamualaikum wbt.

Perpisahan adalah suatu hidup yang susah.
Perkara yang sangat sukar.
Amat sukar.
Perpisahan adalah kesukaran yang berat.
Lalu keberatan itu membebani segenap jiwa dan raga.
Barangkali lebih rela tidak bertemu,
Lalu mengenali, jika akhirnya berpisah.

PERTEMUAN kami sudah berakhir. Ini adalah permainan waktu. Pabila kita menunggu, waktu menjelma menjadi suatu keadaan yang menyeksakan lalu dirasakan sangat panjang dan lama. Sedang pabila kita tidak mahu ia pergi dengan deras, lalu waktu berlari dengan lajunya dan memintas seribu satu bicara. Maka, kelu sudah menjadi lafaz tersimpan.

Dua tahun lebih mengenali kamu semua, suka duka ditempuhi bersama. Sedar tidak sedar, saya sudah berada pada hari-hari terakhir yang entah bila lagi akan dapat bertemu kembali.Untuk ke seribu kalipun, saya cukup merasai bahawa perpisahan itu sukar. Ya, amat sukar.
Walau segembira manapun saya dengan keputusan yang tersurat namun kesedihan meninggalkan teman-teman amat terasa.

Selama saya menjalani hidup di daerah ini saya telah melalui masa-masa yang sulit serta saat-saat yang melelahkan dengan pelbagai ujian padahal saya telah berjalan di atas jalan kebenaran. Pun begitu saya yakin bahawa suatu hari kesusahan akan sirna, kelelahan akan hilang dan yang akan tersisa bagi saya adalah kamu semua: sahabat-sahabat saya. Hari ini saya sedar, bila apa yang dinamakan takdir itu menentu, saya pasti akan fahami sesuatu.

Sebagai tribusi saya tujukan entri ini kepada Kak Suriya, Kak Zai, Zaleha, Mas dan Mek Na. Terima kasih atas segala..

Wassalam.

Saturday, November 14, 2009

Perkelahan tak jadi

Assalamualaikum wbt.





Saya dan kak Zai merancang untuk pergi berkelah di Tanjung Lubang tetapi ketentuan Ilahi melebihi segala. Lalu perkelahan itu dibatalkan dan dengan senang hati kak Zai mengajak saya ke rumahnya. Begitu meriah suasana di rumah kak Zai dengan kehadiran kak Su sekeluarga, Zaleha sekeluarga, Nujaimi sekeluarga serta kak Sarimah (juga sekeluarga). Sungguh seronok anak-anak masing-masing bermain. Saya tidak berkesempatan untuk mengambil gambar tetapi semalam saya ada berkunjung melihat blog Amir dan saya amat tertarik melihat gambar-gambar yang terdapat dalam gallerinya. Lalu saya telah pinjam beberapa gambar dari koleksi tersebut. Apa yang kamu semua lihat di atas..itulah dia..

Saya berfikir sejenak, apa sebenarnya yang membuatkan dunia kanak-kanak nampak begitu gembira?Apa sebenarnya yang mereka nampak dalam dunia ini.. mereka begitu ceria seolah-olah langsung tidak ada masalah dalam hidup mereka. Tipulah kan kalau kata tak ada masalah.. Masalah tu ada cuma ia tak nampak begitu significant...Masalah mereka>> berebutkan makanan, cemburukan adik-beradik, mak ayah tak bagi ikut berjalan, kena marah dengan kakak abang..tak tahu buat kerja sekolah, marah sebab konon-kononnnya sebahagian makanan dia sudah dirembat orang lain.. dan macam-macam lagi.

Kanak-kanak memang suka bermain dan bermanja. Kalau menangis pun untuk menarik perhatian. Suka meniru dan gemar dipuji. Senyum meleret bila dihargai dan terkinja-kinja keriangan apabila dibelikan hadiah dan barang permainan.Pagi merajuk, tak sampai tengahari dah ok semula. Paling-paling teruk pun sampai malam sahaja.Cara ni bagus sebenarnya, orang kata
JANGAN SIMPAN DALAM HATI. BUANG YANG KERUH DAN AMBIL YANG JERNIH.

Kanak-kanak sentiasa suka akan kedatangan hari-hari baru..datangnya hari baru bererti ada perkara baru yang lebih seronok akan mereka lalui.. sebagai contoh dapat jumpa kawan-kawan atau dapat main lagi di padang permainan serta dapat beli lagi sticker yang mereka suka. Maksudnya mereka hanya FOKUS PADA PERKARA-PERKARA POSITIF DALAM HIDUP dan LIVE IT UP EVERY MOMENT. Yang tak eloknya, kadang-kadang mereka tak boleh nak kongsi barang-barang , apatah lagi kasih sayang. Bila mereka bergaduh, masyaAllah, nak roboh rumah dibuatnya. Tapi kita sebagai yang tua, yang matang, yang mendidik, kenalah pandai membimbing, tunjukkan jalan, akhlak dan contoh yang baik untuk mereka ini.

PENDIDIKAN ASAS BERMULA DARI RUMAH. Adalah lebih elok jika pendidikan yang diberikan itu adalah yang selari dengan cara hidup Islam. mungkin boleh dilonggarkan sedikit dari segi puasa contohnya.. apa yang penting kita bagi mereka faham apa itu cara hidup Islam.. dan sudah semestinya kita juga kenalah ikut buat sama..contohnya : takkan lah kita suruh adik-adik kita pergi masjid atau surau untuk solat tapi kita sendiri pergi pasar malam sebab nak makan murtabak yang diidam-idamkan sejak 2 minggu lepas.. ini merupakan tunjuk ajar yang salah. Atau kita ajar mereka supaya jaga kebersihan, tak elok buang sampah merata-rata, tapi kita kat rumah bukan main liat lagi nak bersihkan bilik sendiri.. jangan kata bilik, meja belajar atau katil pun dah cukuplah buat bukti betapa lainnya apa yg diajar dan apa yg dibuat.

Renungan;Sama-sama kita perbaiki diri agar kehidupan mendatang lebih menjanjikan bahagia dalam mencari keredhaan Ilahi.

Wassalam.

Wednesday, November 11, 2009

Tidak suka


Assalamualaikum wbt.

Saya ada beberapa buah lagu yang saya senarai hitamkan. Jangan harap saya akan dengar lagu-lagu ini kalaupun kebetulan ia berada di dalam playlist saya di Winamp. Cepat saja tangan saya menekan next untuk ke lagu seterusnya. Yang pasti, lagu-lagu ini suatu ketika dulu pernah berada di dalam laptop saya tetapi telah dihapuslenyapkan daripada simpanan.

Alasan saya ialah, lagu-lagu ini mengisahkan si lelakinya terlalu setia, terlalu cinta, terlalu kasih, terlalu sayang dan sanggup berkorban untuk si kekasih. Mengarut. Dalam dunia sekarang, dah semakin pupus golongan yang jujur begini. Dalam lagu-lagu yang saya senaraikan ini terlalu memperincikan kesempurnaan dan kesetiaan kasih sayang seorang lelaki yang terlalu memuja seorang perempuan. Saya bukan berburuk sangka mengatakan tiada langsung lelaki yang baik. Ada memang ada. Tapi bukan seperti yang disifatkan di dalam lagu-lagu ini. Juga satu nasyid yang saya kira tak membina langsung.


1. Ku Ingin Kamu (Coach)

2. Knife (Rockwell)

3. Menghitung Hari 2 (Ada Band)

4. Tercipta Untukku (Ungu)

5. See You Di IPT (UNIC)

Pendek cerita, saya memang tak sukalah lagu-lagu ini. Menyesal pernah tahu semua lagu ini. Boleh tak begitu? Huhu. Saya rasa lebih banyak berlakonnya daripada yang betul dalam kata-katanya. Kalau cakap tak serupa bikin, baik terjun dari tangki air saja. Perempuan tak sakit hati, lelaki tak berdosa mungkir janji. Haha.

Macam mengarut saja bunyinya kan????Entahlah...


Wassalam.

Wednesday, October 21, 2009

Itu kamu, ini aku

Assalamualaikum wbt.



Jadilah aku!
Jadilah kamu!

Sepanjang saya berkawan,, resepi saya sangat mudah, terimalah saya seperti saya, dan jadilah diri kamu yang sebenarnya. Jangan cuba jadi saya atas dasar empathi kerana itu tidak membuka ruang untuk saya mengenali kamu. Dan jangan minta saya menjadi kamu!

A true friend is who walks in when others walk out

Membina sebuah persahabatan sejati yang mampu bertahan lama bukan mudah kerana ramai di antara kita melupakan kawan yang kita temui sepanjang perjalanan hidup kita. Saya sering bertemu dengan rakan baru hampir setiap hari tetapi ramai yang saya temui itu gagal menjadi “itu kamu” sebaliknya sering kali cuba mempamerkan kehebatannya. Malangnya saya cepat lemas dan rimas dengan situasi itu kerana apa yang saya cari dalam sebuah persahabatan ialah bagaimana kamu mempamerkan identiti diri kamu tanpa menjadi seekor “sesumpah”.

“Sesumpah” bagi saya hanyalah seekor binatang yang tidak ingin dilihat tetapi ingin melihat!

Saya tidak mempunyai ramai rakan yang benar-benar sahabat kerana untuk saya menerima seseorang dalam hidup saya, kawan itu mesti berani untuk berdiri atas tiket “itu kamu…ini aku”. Di sinilah kekuatan seseorang itu teruji kerana matlamat memilih seorang kawan bukan sekadar untuk memenuhi kekosongan dalam kehidupan kita tetapi bagaimana persahabatan itu dimanfaatkan untuk kepentingan diri kita dan diri sahabat kita itu jua.

Terima kasih buat kawan-kawan yang hampir setiap hari bersama-sama berdiri dan berjalan dalam perjalanan saya di sini tanpa merasa erti penat !

Entri ini adalah untuk kak Su, kak Zai, Zaleha, Mas dan Mek Na yang bersama saya seharian-harian, for the sake of trying to figure out many unforeseen events that have crossed path in my life!

Note; In many ways, I believe to lose a love is still a winner when you have a true friend standing next to you…Salute to pure friendship!

wassalam.

Sunday, October 18, 2009

Madu, gula dan semut

Assalamualaikum wbt.

Menelusuri rencah kehidupan yang penuh dengan dugaan dan cabaran, kadangkala memaksa saya berfikir tentang jiwa dan rasa. Kehidupan manusia, adalah terdiri daripada minda, jasad dan hasrat yang mewakili spiritual, fizikal dan intelektual. Hidup manusia tidak akan lengkap tanpa semua elemen tersebut.Apabila elemen-elemen itu bergabung dan membentuk peribadi, maka di situlah kita akan dapat melihat di mana nilai kita.
Saya amat tertarik dengan tajuk ini kerana baru semalam saya bercerita bersama seorang sahabat. Kita sering mendengar, ungkapan-ungkapan seperti 'habis madu sepah dibuang', 'semut mati di dalam bekas gula', dan 'kurangkan manis dalam minuman, banyakkan manis dalam senyuman' serta lain-lain. Ungkapan-ungkapan seumpama ini, jika diteliti, sebenarnya menyimpulkan satu intipati yang menarik untuk direnungkan dalam kehidupan kita ini.
Saya suka mengambil perumpamaan madu dan gula dikaitkan dengan entiti utama dalam masyarakat terutama wanita. Madu lebih bernilai daripada gula, madu menyihatkan, sedangkan gula merosakkan. Sebab itu, apabila semut terlalu banyak makan gula, dia akan mati dalam bekas gula. Semut tidak menghurung madu kecuali madu yang tidak asli (campuran gula). Jadi di sini letaknya nilai madu. Wanita sering menjadi objek sasaran semut yang tidak punya nilai spiritual dan intelektual yang tinggi. Cuba kita lihat wanita yang berkecimpung di dalam kerjaya yang menjatuhkan akhlak, betapa banyaknya semut yang menghurung mereka? Wajah yang 'putih' diiklankan. Maruah yang 'manis' diperdagangkan. Akhirnya, semut-semut ini juga turut rosak setelah gula sukrosa wanita terlalu banyak dimamah!
Perhatikan diri kita, adakah kita ini boleh dikategorikan sebagai madu yang payah untuk dimiliki atau hanya sekadar gula yang menjadi hurungan semut, diangkut ke sana ke mari tetapi tidak mampu dimanfaatkan kepada diri sendiri dan komuniti? Sudah kolektifkah kerja kita? Sudah maniskah ukhuwah kita? Sudah putihkah amal dan niat kita? Makin positifkah intelektual kita atau kian negatifkah ia kerana terlebih gula?
Fikirkanlah bersama.........
Renungan;Nafsu mengatakan wanita cantik pada paras rupa, Akal mengatakan wanita cantik atas kemajuan agama dan ilmu,Hati menyatakan kecantikan wanita hanya pada akhlaknya,Itupun seandainya hati itu bersih untuk menilai.
Wassalam.

Kecil yang bermakna

Assalamualaukim wbt.

Kadang-kadang kita selalu sangat ambil mudah benda-benda kecil.Hampir selalu juga, dulu-dulu, terlepas pandang pada benda- benda kecil begini (Saya katakan di sini benda-benda kecil tapi bukan perkara remeh temeh). Ambil mudah, ambil ringan, kurang bersungguh bila sebut pasal benda-benda kecil. Alhamdulillah sekarang, saya cuba untuk kurangkan sifat ini.

Satu hari saya terfikir bahawa benda kecil ini sebenarnya besar. Cuma terlepas pandang sahaja. Sebiji paku di atas jalan boleh menyebabkan berpuluh kemalangan, duri-duri di jalanan, jika tidak dibuang akan menyebabkan orang terluka. Tidak cukup sepuluh sen di sebuah pasar raya menyebabkan tidak boleh untuk membeli barang. Dua tiga butir nasi tertinggal dalam pinggan, elok dihabiskan kerana tidak tahu beras mana punya keberkatan. Patut memulakan pekerjaan dengan tangan atau kaki kanan, kerana sunnah Nabi punyai keberkatan.

Bagi saya, keberkatan bermula dari sekecil-kecil perkara.Tapi sayang..kita selalu terlepas pandang atau ada juga yang sengaja pandang enteng. Hakikatnya benda-benda kecil beginilah yang membuatkan hidup dan rezeki kita lebih berkat.Juga merupakan antara punca ketenangan hati.Kerana... tanpa keberkatan, hidup tidak tenang.

Sesungguhnya nyamuk yang kecil lebih banyak membunuh berbanding harimau yang besar, tapi yang mati kerana harimau sangat sedikit.Begitulah contoh, kecilnya benda jangan disangka tidak boleh memberi implikasi dalam kehidupan.

Wassalam.

Thursday, October 8, 2009

Zaman dulu dan zaman kini

Assalamualaikum wbt.

Bila diperhatikan, ketara benar rasanya tingkah laku dan fi'il perangai murid-murid zaman sekarang dengan murid-murid zaman saya menjadi murid dulu. Masih segar diingatan, murid-murid zaman dulu sangat hormat kepada guru. Mengiakan kata-kata guru kadang-kadang melebihi kata-kata ibu bapa sendiri. Masa itu, terlalulah seronoknya jika cikgu meminta kita menghantar buku atau mengambil buku di bilik guru, seronok juga bila guru meminta kita membeli barang di kantin atau koperasi. Dan megah semacam bila cikgu asyik meminta kita menjawab soalan. Lebih daripada itu, siap berlagak dengan kawan-kawan bila cikgu kenal dan menyebut nama kita. Tengok...cikgu ingat nama aku.. Begitulah murid-murid pada masa itu. Kalau ada yang tersilap menjawab atau berkelakuan yang yang tidak sepatutnya, murid-murid sewaktu itu bukan sahaja bimbang dan takut dimarahi guru, malah lebih takut lagi jika diketahui oleh ibu bapa masing-masing yang pastinya akan dikenakan hukuman tanpa sebarang pembelaan (termasuk juga saya).

Berbeza sungguh dengan murid-murid zaman kini yang segelintirnya tanpa segan silu melawan guru-guru. Berkelakuan sesuka hati, sesedap rasa tanpa memikirkan perasaan orang lain hatta peraturan atau undang-undang sekalipun.

Sepanjang dua tahun berada di daerah ini, saya boleh membuat kesimpulan bahawa tanah sarawak tidak sesuai untuk saya. Hanya satu yang saya akan ingat sampai bila-bila, pelajar-pelajar di sini (maksud saya orang sarawak) amatlah tidak bersyukur dan bersikap terlalu kurang ajar malah tidak menghormati guru selaku insan yang memberi ilmu (maaf andai kedengaran agak kasar). Sebagai manusia yang patut menjadi contoh, saya redha atas segala ilmu yang dicurahkan walau jauh di sudut hati, saya benar-benar kecewa.

Wassalam.

Wednesday, October 7, 2009

Itulah sahabat





Assalamualaikum wbt.

kawan...kita faham dia
tapi tak semestinya dia faham kita...
kasih...kita sayang dia
dia sayang kita
walaupun ada kalanya
kasih kita tidak berbalas
tapi bila ditanya tentang berkorban
tidak semuanya sanggup
sebab adakalanya
kasih itu atas dasar harta dan rupa
mungkin juga kerana nama
lagi pula ada apa dengan cinta
kalau tiada setianya
kalau tiada sejiwa...
sahabat...kita faham dia
dia faham kita
kita hormat dia
dia hormat kita
kita ketawa
dia tumpang ketawa
kita menangis
dia ikut bersedih
kita berduka
dia turut kecewa
tapi dia tetap di sisi
untuk memberikan senyuman
meminjamkan telinga
untuk berkongsi sengsara
meminjamkan bahu
untuk berkongsi tangis
yang menjadi pelangi
selepas hilangnya matahari
kerana bertamunya ribut
dan juga petir
yang menjadi rencah dalam hidup ini...
itulah sahabat
dan sahabat itulah..
kamu semua.
Wassalam.

Rajuk

Assalamualaikum wbt.

Biar aku diam
Tanpa kata
Biar kau tahu
Apa untungnya
Sebuah bicara
Jangan ditanya
Ke mana aku pergi
Kerana aku
masih tetap di sini..

Wassalam

Monday, August 31, 2009

Sampaikan rindu ini

Assalamualaikum wbt.

Saya rindu seseorang yang jauh.
Kerana rindu ini,
saya mohon..
Semoga kamu bahagia di sana.
dan semoga urusan kamu dipermudahkan.
Juga, semoga DIA yang tidak pernah tidur
sentiasa melindungi kamu.
Angin, sampaikan ya.
Saya tutup mata,
dan saya percaya,
khabar saya melalui angin pasti akan sampai.
Moga malam ini,
tidur saya tenang.

Wassalam.

Berdosakah...

Assalamualaikum wbt.

Guru diibaratkan sebagai lilin yang menerangi muridnya dengan ilmu. Pengganti ayah dan ibu di dalam kelas. Guru membentuk disiplin anak-anak, dilentur agar betul tegaknya apabila sudah dewasa. Dia mengajar 'anaknya' bagaimana cara menyebut, menulis, membaca. Mengajar agar tahu tegak dan bengkoknya cara solat, cara makan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, bahkan untuk menjadikan anak murid sebagai seorang manusia yang berguna dan mempunyai cita-cita.

Lihatlah, yang menjadi pemimpin, menjadi ahli perniagaan semuanya atas jasa pejuang yang tidak bernama ini. Kerana guru, tidak diajar untuk menerima balas jasa, tidak inginkan namanya disebut. Cukup dengan ilmu yang diajar dapat diamal, dihayati. Mudah-mudahan menjadi amal jariah di kemudian hari.

Fahamkah ibu ayah yang dahulunya juga pernah diajar oleh guru? Anak-anak perlukan bimbingan dan perhatian di rumah. Bukunya disemak, dilihat kerja rumahnya, ditanyakan siapa kawan-kawannya.

Malanglah sang guru, kerana segelintir perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab, maka semua nodanya di taburkan kepada seluruh insan yang bergelar guru. Disebut-sebut perbuatan guru memukul anaknya – adakah mereka tahu benar peribadi anak sendiri? Ditunding-tunding kesalahan sang guru, padahal mereka lupa. Menyerahkan tanggungjawab, tidaklah sama dengan melaksanakan tanggungjawab. Tidak sama juga dengan orang yang hanya pandai memerhatikan dan mengkritik dengan yang duduk dibangku seorang guru.

Mereka berkata kerja guru senang, 6 jam sehari, ada hari cuti yang panjang.
Ya, memang kerja guru senang. Perlu bersengkang mata memikirkan perihal anak murid, menghadapi kerenahnya di dalam kelas, perlu menanda buku, mengikuti kursus, belum dicampur dengan karenah pentadbiran sekolah, kelas tambahan, program sampingan sukan sekolah. Yang sudah berkahwin perlu memikirkan keluarga mereka sendiri. Tidur malamnya selalu nyenyak. Mudahnya kerja guru..

Dari A hingga ke Z guru mengajar, dari berdiri tegak sehingga memberi salam diasuh agar muridnya menjadi orang yang tahu Islam. Ada guru yang menyerahkan jiwa raganya di dalam profesion ini, memberi motivasi dan semangat agar anak didiknya terus berjaya. Yang malas, yang suka bermain di dalam kelas, yang hanya tahu tidur, masih tergagap untuk membaca, tidak kenal huruf dan merangkak menyebut perkataan – disuakan dengan teknik belajar. Tidak lupa sang guru untuk mengingatkan anak didiknya itu silalah ulangkaji, tunjukkan pada ibu dan ayah mana yang perlu dibuat dan disemak semula. Tetapi yang lebih difahami - anaknya mesti mendapat semua A apabila mendapat keputusan peperiksaan. "Anak aku pintar, bijak" Dan semuanya diakhiri dengan perkataan 'AKU' juga.

Sebagai seorang ayah dan ibu di dalam kelas, ia tidak senang melepaskan anaknya balik ke rumah tanpa membawa apa-apa yang bermakna di dalam kehidupan. Lalu diberi peringatan – bahawa hormati ibu dan bapa, cium tangan mereka, minta maaf kepadanya. Jangan segan untuk meringankan tulang. Berilah khabar gembira apabila sudah berjaya…

Begitulah… sang guru tetap juga meneruskan pengajaran dan didikannya dengan sabar, walaupun saban waktu hatinya menahan kerana herdikan, cacian dan cemuhan. Dan itulah dosa-dosa guru kerana mendidik anak muridnya..

Adakah coretan ini sekadar untuk meluah perasaan? Yang pasti saya amat sedih dan terkilan...

Wassalam.

Wednesday, August 26, 2009

Cuti sekolah

Assaalamualaikum wbt.

Cuti sekolah kali ini saya habiskan di Kerteh. Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya bercuti di sini sedangkan kawasan ini bukan merupakan kawasan pelancongan. Sebenarnya saya hanya ingin menghabiskan masa cuti bersama suami yang sudah tiga minggu berpindah di daerah ini. Tidak banyak yang boleh saya lakukan atau dengan erti kata lain menikmati serta menjelajahi isi buminya kerana suami saya bekerja. Lagipun tidak ada sesiapa untuk menjaga buah hati saya, tambahan pula saya tidak berhajat untuk membawanya keluar lantaran H1N1 masih merebak.

Saya hanya duduk di rumah melayan keletah si manja. Lalu saya berangan alangkah seronok sekiranya saya juga dapat berpindah ke sini. Tidak perlu suami ulang-alik ke Miri. Banyak masa terbuang serta duit pun melayang. Apa-apa pun saya akan memohon pertukaran walaupun harapannya mungkin agak tipis.

Nota: Moga hari-hari mendatang menjanjikan kebahagiaan yang berpanjangan.

Wassalam.

Budaya yang kian luput

Assalamualaikum wbt.

Waktu kecil-kecil dulu, sebelum sesi persekolahan bermula di awal tahun baru, saya akan sibuk membalut buku. Waktu itu saya hanya menggunakan kertas minyak yang bewarna coklat. Buku saya nampak kemas dan semuanya kelihatan sama. Disebabkan permukaan buku saya kosong tanpa corak, saya lebih menjaga buku saya supaya tidak kotor atau comot. Di sekolah, saya rasa bangga bila buku saya berbalut dan ada kawan-kawan yang tidak membalut langsung buku mereka sehingga hancur bahagian tepi-tepinya kerana terpenyek dan pelbagai alasan lain. Disebabkan buku saya berbalut, nama di bahagian depan juga ditulis dengan lebih besar berbanding jika buku tidak dibalut.

Zaman beredar, plastik lutsinar pula menjadi pilihan untuk membalut buku. Siap ada jenis yang sedia-pakai (ready-made) yang hanya perlu kita sarungkan pada buku tanpa perlu menggunakan pita pelekat untuk melekatkan di setiap penjuru buku. Saya tidak sempat menggunakan pembalut jenis ini kerana ianya belum ada pada masa itu. Namun budaya membalut buku itu bukan lagi satu tradisi ketika itu apatah lagi pada masa kini. Pelajar-pelajar saya masih ramai yang tidak membalut buku. Masing-masing lebih suka buku tanpa balutan.

Pada pendapat saya, membalut buku ini perlu dibudayakan dalam kalangan pelajar sekolah supaya kekemasan buku dapat dijaga. Selain itu, kita dapat mendidik mereka supaya lebih menyayangi dan bertanggung jawab ke atas harta mereka. Kalau buku pun hancur, di manakah nilai menghargai ilmu yang ada di dalamnya? Kita kalau boleh mahu selari kedua-duanya. Menghargai ilmu dan harta benda. Biar anak-anak kita terdidik dengan perkara asas kehidupan ini sejak kecil lagi. Besar nanti mereka menjadi golongan yang menghargai ilmu dan cermat dengan harta mereka.

Nota: Saya tidak gembira apabila harta peribadi saya diceroboh.

Wassalam

Auni Althafunnisa bt Haniff