Menelusuri rencah kehidupan yang penuh dengan dugaan dan cabaran, kadangkala memaksa saya berfikir tentang jiwa dan rasa. Kehidupan manusia, adalah terdiri daripada minda, jasad dan hasrat yang mewakili spiritual, fizikal dan intelektual. Hidup manusia tidak akan lengkap tanpa semua elemen tersebut.Apabila elemen-elemen itu bergabung dan membentuk peribadi, maka di situlah kita akan dapat melihat di mana nilai kita.
Saya amat tertarik dengan tajuk ini kerana baru semalam saya bercerita bersama seorang sahabat. Kita sering mendengar, ungkapan-ungkapan seperti 'habis madu sepah dibuang', 'semut mati di dalam bekas gula', dan 'kurangkan manis dalam minuman, banyakkan manis dalam senyuman' serta lain-lain. Ungkapan-ungkapan seumpama ini, jika diteliti, sebenarnya menyimpulkan satu intipati yang menarik untuk direnungkan dalam kehidupan kita ini.
Saya suka mengambil perumpamaan madu dan gula dikaitkan dengan entiti utama dalam masyarakat terutama wanita. Madu lebih bernilai daripada gula, madu menyihatkan, sedangkan gula merosakkan. Sebab itu, apabila semut terlalu banyak makan gula, dia akan mati dalam bekas gula. Semut tidak menghurung madu kecuali madu yang tidak asli (campuran gula). Jadi di sini letaknya nilai madu. Wanita sering menjadi objek sasaran semut yang tidak punya nilai spiritual dan intelektual yang tinggi. Cuba kita lihat wanita yang berkecimpung di dalam kerjaya yang menjatuhkan akhlak, betapa banyaknya semut yang menghurung mereka? Wajah yang 'putih' diiklankan. Maruah yang 'manis' diperdagangkan. Akhirnya, semut-semut ini juga turut rosak setelah gula sukrosa wanita terlalu banyak dimamah!
Perhatikan diri kita, adakah kita ini boleh dikategorikan sebagai madu yang payah untuk dimiliki atau hanya sekadar gula yang menjadi hurungan semut, diangkut ke sana ke mari tetapi tidak mampu dimanfaatkan kepada diri sendiri dan komuniti? Sudah kolektifkah kerja kita? Sudah maniskah ukhuwah kita? Sudah putihkah amal dan niat kita? Makin positifkah intelektual kita atau kian negatifkah ia kerana terlebih gula?
Fikirkanlah bersama.........
Renungan;Nafsu mengatakan wanita cantik pada paras rupa, Akal mengatakan wanita cantik atas kemajuan agama dan ilmu,Hati menyatakan kecantikan wanita hanya pada akhlaknya,Itupun seandainya hati itu bersih untuk menilai.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment