Wednesday, August 26, 2009

Budaya yang kian luput

Assalamualaikum wbt.

Waktu kecil-kecil dulu, sebelum sesi persekolahan bermula di awal tahun baru, saya akan sibuk membalut buku. Waktu itu saya hanya menggunakan kertas minyak yang bewarna coklat. Buku saya nampak kemas dan semuanya kelihatan sama. Disebabkan permukaan buku saya kosong tanpa corak, saya lebih menjaga buku saya supaya tidak kotor atau comot. Di sekolah, saya rasa bangga bila buku saya berbalut dan ada kawan-kawan yang tidak membalut langsung buku mereka sehingga hancur bahagian tepi-tepinya kerana terpenyek dan pelbagai alasan lain. Disebabkan buku saya berbalut, nama di bahagian depan juga ditulis dengan lebih besar berbanding jika buku tidak dibalut.

Zaman beredar, plastik lutsinar pula menjadi pilihan untuk membalut buku. Siap ada jenis yang sedia-pakai (ready-made) yang hanya perlu kita sarungkan pada buku tanpa perlu menggunakan pita pelekat untuk melekatkan di setiap penjuru buku. Saya tidak sempat menggunakan pembalut jenis ini kerana ianya belum ada pada masa itu. Namun budaya membalut buku itu bukan lagi satu tradisi ketika itu apatah lagi pada masa kini. Pelajar-pelajar saya masih ramai yang tidak membalut buku. Masing-masing lebih suka buku tanpa balutan.

Pada pendapat saya, membalut buku ini perlu dibudayakan dalam kalangan pelajar sekolah supaya kekemasan buku dapat dijaga. Selain itu, kita dapat mendidik mereka supaya lebih menyayangi dan bertanggung jawab ke atas harta mereka. Kalau buku pun hancur, di manakah nilai menghargai ilmu yang ada di dalamnya? Kita kalau boleh mahu selari kedua-duanya. Menghargai ilmu dan harta benda. Biar anak-anak kita terdidik dengan perkara asas kehidupan ini sejak kecil lagi. Besar nanti mereka menjadi golongan yang menghargai ilmu dan cermat dengan harta mereka.

Nota: Saya tidak gembira apabila harta peribadi saya diceroboh.

Wassalam

No comments: