Assalamualaikum wbt.
ini satu refleksi, cerminan diri pada tamsil hakiki...
ini hisab diri, merenung jauh ke belakang diri...
ini satu perhitungan, apakan jadi di masa depan...
mampukah berdiri, andai aku keseorangan...
Hari-hari yang saya lalui, sejak kaki mula terjejak di atas bumi, tanah Sarawak. Saya dengan sedar mengatakan pada diri, biar di bumi mana kita berdiri, hakikatnya, kita berada di bawah langit yang sama. Dari satu bi`ah yang terdedah dengan mehnah dan trebulasi dunia dan sekutunya, Allah menentukan saya termasuk dalam kalangan yang ditakung daripada kotor dunia, terpilih untuk dibersihkan. Seumpama memisahkan antara kaca dan permata.
Saya sebenarnya yang memilih untuk datang ke sini semata-mata ingin bersama insan tersayang. Rasa kasih dan dorongan memberi banyak erti dalam hidup saya. Setiap saat saya melangkah dan setiap saat juga saya meninggalkan masa. Itulah kehidupan dan pelbagai pengalaman telah saya tempuhi. Kehidupan saya penuh dengan warna-warni. Kehidupan mengajar dan menemukan saya dengan pelbagai peristiwa yang kadangkala tidak masuk dek akal yang tak seberapa ini. Pengajaran dan pengalaman ini menyebabkan saya bercita-cita mahu menjadi manusia yang lebih baik. Saya mempunyai kerjaya yang baik, dikelilingi oleh keluarga yang saling kasih mengasihi dan rakan-rakan yang berhati tulus (benar-benar tulus) - Malah saya beranggapan bahawa Allah sentiasa memberi kemuliaan kepada kehidupan saya.
Saya selalu terfikir - masa lampau adalah suatu kenangan - tak mungkin saya dapat berpatah balik. Lalu masa hadapan lah yang perlu saya hadapi dengan lebih bermakna. Namun di sana-sini, saya berhadapan dengan cabaran yang memerlukan pengamatan semula dengan apa yang pernah saya lakukan.
Sejauh mana kita menjangka dan meletakkan nilai persahabatan? Sejauh mana kita meyakini yang kita tidak pernah mempunyai musuh? Bagaimana kita melihat cabaran kehidupan dalam perspektif yang betul? Atau bagaimana kita menangani kejayaan atau kegagalan? Sanggupkah kita memburuk-burukkan rakan sendiri dalam mengejar kejayaan? Mahukah kita membantu mereka yang perlukan pertolongan dengan seikhlas mungkin?.
Itulah realiti kehidupan. Kita sentiasa dibayangi dengan pelbagai persoalan yang nampak mudah tetapi kelihatan janggal apabila ia berakhir dengan tindakan yang tidak pernah berasaskan logik.
Ketika saya mencatat kisah ini, mungkin ada kisah lain yang ingin saya sampaikan. Saya percaya, ada orang mampu mentafsir apa yang tersirat, namun lebih ramai yang mendapat pengajaran seadanya. Ya...mungkin hanya insan tertentu sahaja yang dapat menyelami isi yang tersirat melalui coretan kali ini....
Wassalam.
No comments:
Post a Comment