Monday, August 31, 2009

Sampaikan rindu ini

Assalamualaikum wbt.

Saya rindu seseorang yang jauh.
Kerana rindu ini,
saya mohon..
Semoga kamu bahagia di sana.
dan semoga urusan kamu dipermudahkan.
Juga, semoga DIA yang tidak pernah tidur
sentiasa melindungi kamu.
Angin, sampaikan ya.
Saya tutup mata,
dan saya percaya,
khabar saya melalui angin pasti akan sampai.
Moga malam ini,
tidur saya tenang.

Wassalam.

Berdosakah...

Assalamualaikum wbt.

Guru diibaratkan sebagai lilin yang menerangi muridnya dengan ilmu. Pengganti ayah dan ibu di dalam kelas. Guru membentuk disiplin anak-anak, dilentur agar betul tegaknya apabila sudah dewasa. Dia mengajar 'anaknya' bagaimana cara menyebut, menulis, membaca. Mengajar agar tahu tegak dan bengkoknya cara solat, cara makan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, bahkan untuk menjadikan anak murid sebagai seorang manusia yang berguna dan mempunyai cita-cita.

Lihatlah, yang menjadi pemimpin, menjadi ahli perniagaan semuanya atas jasa pejuang yang tidak bernama ini. Kerana guru, tidak diajar untuk menerima balas jasa, tidak inginkan namanya disebut. Cukup dengan ilmu yang diajar dapat diamal, dihayati. Mudah-mudahan menjadi amal jariah di kemudian hari.

Fahamkah ibu ayah yang dahulunya juga pernah diajar oleh guru? Anak-anak perlukan bimbingan dan perhatian di rumah. Bukunya disemak, dilihat kerja rumahnya, ditanyakan siapa kawan-kawannya.

Malanglah sang guru, kerana segelintir perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab, maka semua nodanya di taburkan kepada seluruh insan yang bergelar guru. Disebut-sebut perbuatan guru memukul anaknya – adakah mereka tahu benar peribadi anak sendiri? Ditunding-tunding kesalahan sang guru, padahal mereka lupa. Menyerahkan tanggungjawab, tidaklah sama dengan melaksanakan tanggungjawab. Tidak sama juga dengan orang yang hanya pandai memerhatikan dan mengkritik dengan yang duduk dibangku seorang guru.

Mereka berkata kerja guru senang, 6 jam sehari, ada hari cuti yang panjang.
Ya, memang kerja guru senang. Perlu bersengkang mata memikirkan perihal anak murid, menghadapi kerenahnya di dalam kelas, perlu menanda buku, mengikuti kursus, belum dicampur dengan karenah pentadbiran sekolah, kelas tambahan, program sampingan sukan sekolah. Yang sudah berkahwin perlu memikirkan keluarga mereka sendiri. Tidur malamnya selalu nyenyak. Mudahnya kerja guru..

Dari A hingga ke Z guru mengajar, dari berdiri tegak sehingga memberi salam diasuh agar muridnya menjadi orang yang tahu Islam. Ada guru yang menyerahkan jiwa raganya di dalam profesion ini, memberi motivasi dan semangat agar anak didiknya terus berjaya. Yang malas, yang suka bermain di dalam kelas, yang hanya tahu tidur, masih tergagap untuk membaca, tidak kenal huruf dan merangkak menyebut perkataan – disuakan dengan teknik belajar. Tidak lupa sang guru untuk mengingatkan anak didiknya itu silalah ulangkaji, tunjukkan pada ibu dan ayah mana yang perlu dibuat dan disemak semula. Tetapi yang lebih difahami - anaknya mesti mendapat semua A apabila mendapat keputusan peperiksaan. "Anak aku pintar, bijak" Dan semuanya diakhiri dengan perkataan 'AKU' juga.

Sebagai seorang ayah dan ibu di dalam kelas, ia tidak senang melepaskan anaknya balik ke rumah tanpa membawa apa-apa yang bermakna di dalam kehidupan. Lalu diberi peringatan – bahawa hormati ibu dan bapa, cium tangan mereka, minta maaf kepadanya. Jangan segan untuk meringankan tulang. Berilah khabar gembira apabila sudah berjaya…

Begitulah… sang guru tetap juga meneruskan pengajaran dan didikannya dengan sabar, walaupun saban waktu hatinya menahan kerana herdikan, cacian dan cemuhan. Dan itulah dosa-dosa guru kerana mendidik anak muridnya..

Adakah coretan ini sekadar untuk meluah perasaan? Yang pasti saya amat sedih dan terkilan...

Wassalam.

Wednesday, August 26, 2009

Cuti sekolah

Assaalamualaikum wbt.

Cuti sekolah kali ini saya habiskan di Kerteh. Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya bercuti di sini sedangkan kawasan ini bukan merupakan kawasan pelancongan. Sebenarnya saya hanya ingin menghabiskan masa cuti bersama suami yang sudah tiga minggu berpindah di daerah ini. Tidak banyak yang boleh saya lakukan atau dengan erti kata lain menikmati serta menjelajahi isi buminya kerana suami saya bekerja. Lagipun tidak ada sesiapa untuk menjaga buah hati saya, tambahan pula saya tidak berhajat untuk membawanya keluar lantaran H1N1 masih merebak.

Saya hanya duduk di rumah melayan keletah si manja. Lalu saya berangan alangkah seronok sekiranya saya juga dapat berpindah ke sini. Tidak perlu suami ulang-alik ke Miri. Banyak masa terbuang serta duit pun melayang. Apa-apa pun saya akan memohon pertukaran walaupun harapannya mungkin agak tipis.

Nota: Moga hari-hari mendatang menjanjikan kebahagiaan yang berpanjangan.

Wassalam.

Budaya yang kian luput

Assalamualaikum wbt.

Waktu kecil-kecil dulu, sebelum sesi persekolahan bermula di awal tahun baru, saya akan sibuk membalut buku. Waktu itu saya hanya menggunakan kertas minyak yang bewarna coklat. Buku saya nampak kemas dan semuanya kelihatan sama. Disebabkan permukaan buku saya kosong tanpa corak, saya lebih menjaga buku saya supaya tidak kotor atau comot. Di sekolah, saya rasa bangga bila buku saya berbalut dan ada kawan-kawan yang tidak membalut langsung buku mereka sehingga hancur bahagian tepi-tepinya kerana terpenyek dan pelbagai alasan lain. Disebabkan buku saya berbalut, nama di bahagian depan juga ditulis dengan lebih besar berbanding jika buku tidak dibalut.

Zaman beredar, plastik lutsinar pula menjadi pilihan untuk membalut buku. Siap ada jenis yang sedia-pakai (ready-made) yang hanya perlu kita sarungkan pada buku tanpa perlu menggunakan pita pelekat untuk melekatkan di setiap penjuru buku. Saya tidak sempat menggunakan pembalut jenis ini kerana ianya belum ada pada masa itu. Namun budaya membalut buku itu bukan lagi satu tradisi ketika itu apatah lagi pada masa kini. Pelajar-pelajar saya masih ramai yang tidak membalut buku. Masing-masing lebih suka buku tanpa balutan.

Pada pendapat saya, membalut buku ini perlu dibudayakan dalam kalangan pelajar sekolah supaya kekemasan buku dapat dijaga. Selain itu, kita dapat mendidik mereka supaya lebih menyayangi dan bertanggung jawab ke atas harta mereka. Kalau buku pun hancur, di manakah nilai menghargai ilmu yang ada di dalamnya? Kita kalau boleh mahu selari kedua-duanya. Menghargai ilmu dan harta benda. Biar anak-anak kita terdidik dengan perkara asas kehidupan ini sejak kecil lagi. Besar nanti mereka menjadi golongan yang menghargai ilmu dan cermat dengan harta mereka.

Nota: Saya tidak gembira apabila harta peribadi saya diceroboh.

Wassalam

Auni Althafunnisa bt Haniff