Friday, November 5, 2010

Di situlah kebahagiaan

Assalamualaikum wbt.

"Dalam usaha mencari kebahagiaan
kita telah kehilangan segala kebahagiaan yang lain

Kita keluar mencari kehidupan
namun kita telah jauh berpisah dari kehidupan itu sendiri

kita sering keliru..

walhal..

Kebahagiaan itu bukan satu destinasi
tetapi perjalanan itulah kebahagiaan...”



Wassalam.

Thursday, August 19, 2010

Inilah kehidupan

Assalamualaikum wbt.

Dalam hidup kita, banyak benda telah berlaku. Ada yang baik, ada yang tidak baik. Tapi tidak mengapa, itu suatu proses pengajaran dan pembelajaran. Kita diajar untuk menjadi tabah, kita belajar apa itu kesakitan.

Kadang-kadang, kita terlalu mengejar apa yang di depan sehinggakan kita lupa apa yang ada di sekeliling. Dan apabila masa-masa duka kita datang, hanya keluarga dan kawan yang akan berada di sisi. Sudah pasti, Tuhan ada bersama kita. Cuma kita sahaja yang leka dengan benda-benda yang penuh kepalsuan.

Bila kita sering kali dihadapkan dengan kepalsuan dan kesakitan, kita jadi penat. Sudah tidak mampu untuk terus ke depan. Biar hati jadi beku. Tapi itu kan cabaran, kita harus berusaha untuk menangkis cabaran itu. Ya, memang payah, tapi itu lah namanya kehidupan. Mungkin ada perkara baik yang menyusul dikemudian hari.

Wassalam.

Friday, August 13, 2010

Adat hidup

Assalamualaikum wbt.


Adat meraut buluh,
ada yang luka, ada yang sembuh.

Adat memasang jerat,
ada yang lepas, ada yang dapat.

Adat memakan lada,
ada yang pedas, ada yang terasa.

Adat meniup arang,
ada yang menyala, ada yang padam.

Adat memberi peri,
ada yang puji, ada yang keji.


Nota: Tak semua yang kita buat serba mengena di mata orang lain.


Wassalam.

Tuesday, August 10, 2010

Garing

Assalamualaikum wbt.

Hati aku garing terjemur dek omongan engkau,
Selamat terus menerik,
Berbahagialah dan berjoget-joget.

Esok hujan datang,
Baru kau reti merasa kuyup.

Wassalam.

Monday, August 9, 2010

Kerana manisnya epal

Assalamualaikum wbt.

Fitrahnya epal merah, di saat kita mula menggigitnya, pasti ada sedikit masam yang kita rasa. Tapi tidak lama. Selepas jusnya kita peroleh, yang manis-manis saja kita rasakan.

Saya nekad. Saya mahu terus bertahan dengan rasa masam yang ada. Kerana saya mahu menikmati manisnya epal itu di kemudian hari. DENGAN SEPENUH HATI.

Dan manisnya epal itu, hanya ada pada kamu!

Nota: Salam Ramadhan buat semua. Saya tak sabar nak khatam Quran tahun ni =)

Wassalam.

Thursday, July 22, 2010

satu tahun auni




Merenung sendiri

Assalamualaikum wbt.

Hari ini saya diam di situ.. memerhati tingkah si pewaris bangsa. Leka saya dengan pandangan yang kosong sebelum mata berbicara dan hati berdetak.. Apa akan jadi pada mereka.. lima atau sepuluh tahun lagi..? Anak-anak itu yang saya kenal dan saya rapati setiap geraklaku dan tutur mereka.. membuat saya berfikir dan ingin sekali saya cuba mencari perbezaan antara anak-anak itu dengan anak-anak di luar sana.

Dengan begitu ramai pelajar yang saya tekuni setiap hari.. hanya tidak sampai separuh daripadanya adalah pewaris bangsa sendiri.. dan hati kecil ini bagai direntap dan disentap oleh kekecewaan. Memang benar bukan semuanya.. tapi yang segelintir itulah membuatkan fikiran saya bersoal jawab...

“Masih akan kukenalkah bangsaku yang bernama MELAYU sedekad yang mendatang?”

“Masih adakah yang bersemangat Tuah menghunus keris setia dan menjunjung ketuanan Melayu?”

atau

“Masih wujudkah lantang Jebat yang melaungkan amarah keadilan tanpa sedikit pun gentar di hati?”


segalanya.. tak ku punya jawapan...


Betapa.. pelajar yang sewajarnya dihikayatkan dengan getir dan sukarnya perjuangan bangsa sendiri untuk utuh berdiri.. tenggelam dalam limpahan kemanjaan yang tak berpenghujung.. sehinggakan tidak mengerti untuk berdiri di atas kaki sendiri kerana segalanya telah siap tersedia tatkala mata dibuka.

Aduhai.. wahai..
Si pewaris bangsa
Moga takkan kau lontarkan kata
“Ayah.. ku tak diajar..
Bagaimana untuk kuteruskan hidup ini tanpamu..”
“Ibu.. ku tak diajar..
Bagaimana untuk bernafas tanpa dakapanmu..”
Aduhai..
Wahai...

Wassalam.

Pandangan yang berbeza

Assalamualaikum wbt.

Masa berlalu,dan semakin ramai kenalan yang saya kenal,semakin banyak kerenah manusia yang saya belajar,terutama setelah berhijrah dari satu negeri ke satu negeri.Bila makin kenal manusia ni, membuatkan saya semakin ligat berfikir tentang kerenah masing-masing.

Setelah kian lama,baru saya sedar,apa yang berlaku di sekeliling,tidaklah memberi kesan sehinggalah apa yang berlaku itu masuk ke dalam hati dan membuatkan saya berfikir tentang apa yang berlaku.Maka sedari itulah, saya mula menukar cara berfikir terhadap sesuatu situasi.Mulanya melihat sesuatu itu pada sudut yang berbeza,yang pastinya saya boleh lihat satu petunjuk lain.Selalu saya lihat sesuatu perkara,hanya dari hadapan,bukan dari sudut kiri atau kanan,sepertimana kereta,bila dilihat dari depan,akan dirasakan bahawa kereta itu pendek, kecil dan tidak muat untuk ramai orang sedangkan apabila dilihat dari tepi,tidak seperti yang disangka.Panjang,luas,menarik.begitulah yang berlaku.

Perkenalan dengan watak yang berbeza juga mengajar saya bahawa manusia ini,semuanya dibentuk dari latar belakang yang berbeza,keluarga yang pelbagai serta pendidikan yang tidak sama.cuma dari pengalaman berinteraksi dengan ramai manusia,walaupun saya tahu,tidaklah seramai mana,paling penting dalam perhubungan dengan sesama manusia ialah rasa sifat cuba untuk memahami orang lain dan memberi apa yang kita ada.

Wassalam.

Wednesday, July 21, 2010

Mata hati

Assalamualaikum wbt.

Terkadang
dengan mata hati
kita mampu merawat
parahnya kecewa.

Terkadang
dengan mata hati
kita mampu melihat
cerminan diri di wajah peribadi.

Tapi terkadang
dengan mata hati jua
kita mampu tersasar
dari landasan yang bernama hidup.

Dan.. sesekali cerminlah diri pada wajah peribadi.

Wassalam.

Melayu mudah lupa

Assalamualaikum wbt.

Melalui rentetan sejarah, saya diajar sejak kecil tentang bangsa Melayu yang tunjang dan akarnya budaya.. bersatunya tidak goyah, perjuangannya tidak mudah rapuh, semangatnya yang kental dan kesetiaannya yang cukup utuh. Saya diulit dengan lagenda silam kepahlawanan terbilang yang tidak ada duanya.

Entah kenapa.. tika saya cuba menelusur bangsa sendiri hari ini.. nyata.. bukan sekadar mimpi.. amat payah rasanya untuk saya cari Melayu yang pernah diceriterakan sejak di bangku sekolah. Seakan bangsa saya yang semalam hanya wujud pada helaian-helaian buku-buku sejarah yang kian hilang bisanya.

Laluan masa yang berdekad lamanya ternyata seakan merapuhkan semangat yang telah lama tertanam pada bangsa ini. Lalu yang tinggal hanyalah kebimbangan yang seakan tidak ada hujungnya. Atau.. mungkinkah sudah tiba pada akhirnya...?

Bangsa saya hari ini terlalu cepat melatah walau sekalipun tidak dijentik.
Bangsa saya hari ini penuh dengan amarah biarpun bukan pada tempatnya.
Bangsa saya hari ini penuh dengan kelantangan biarpun dulunya berkias bicara.
Bangsa saya hari ini sudah hilang Melayunya.. sudah habis malunya.
Renung-renungkanlah...

Wassalam.

Menggalas sukar

Assalamualaikum wbt.

Amat payah rasanya bila diri terpaksa menjaga banyak hati, bila rasa perlu menggalas banyak jiwa. Sukarnya bila kita berada di tengah-tengah. Di sebelah..ada hati yang perlu ditatang dengan penuh berhemah agar tidak membawa gerhana berpanjangan.

Lalu...di sebelah yang lain juga ada hati yang perlu dijaga agar tidak termakan diri. Segalanya menuntut sabar yang tinggi. Juga menguji kematangan dalam mengambil sebarang tindakan atau menuturkan setiap bicara. Moga saya dikurniakan kesabaran itu, juga kekuatan daripada apa yang bakal terjadi.

Wassalam.

Tuesday, March 30, 2010

MSSD Kemaman

Assalamualaikum wbt.

Hari ini merupakan hari terakhir kejohanan olahraga peringkat daerah Kemaman. Penat begitu terasa setelah empat hari berkampung di SMK Sultan Sulaiman. Pun begitu, hati terubat jua bila ada pelajar yang dapat menyumbangkan pingat emas kepada sekolah. Saya melalui pengalaman bermakna ini bersama pelajar walau hakikatnya saya ini bukanlah jurulatih mereka. Apa-apapun mereka telah berusaha sedaya upaya untuk mencapai ke tahap ini.

Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada Encik Nordin atas usaha beliau melatih dan mendidik pelajar-pelajar ini. Saya sedar bahawa saya tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk menjadi seorang jurulatih, maka dengan itu, berilah peluang kepada saya untuk belajar sesuatu meski agak terlewat. Saya tidak keberatan untuk belajar demi memajukan diri terutama dalam mendidik anak bangsa.

Di kesempatan ini juga, terima kasih kepada 'dia' yang sentiasa memahami dan tidak jemu memberi galakan serta semangat.

wassalam.

Wednesday, March 17, 2010

Auni Althafunnisa bt Haniff ii




Saya gembira melihat dia tersenyum riang....
Wassalam.

Istiqamah

Assalamualaikum wbt.

Semalam saya terbaca isu yang diketengahkan oleh seorang kawan di blognya.Gambarnya nampak mudah. Tapi aplikasinya,mudahkah untuk istiqamah? Jauh saya berfikir tentang hal ini.

Apa definisi istiqamah bagi kamu semua? Adakah kekal dengan prinsip yang diperjuangkan sejak dulu dan semakin menambahkan kualitinya dari semasa ke semasa.Baik dari amalan dan pemakaiannya?

Jadi, adakah orang yang berpakaian biasa tidak berkualiti agamanya? Saya dulu pernah begitu. Saya rasa ramai yang tahu saya mendapat didikan di sekolah agama. Tapi bila kini hanya bertudung biasa, ramai yang menyifatkan ini sudah tidak istiqamah lagi. Saya menerima apa saja yang mereka kata. Walau diam menerima, dalam hati tersentak, tersentuh dan terluka juga.

Saya selalu tanya diri saya. Dengan perubahan fizikal yang sebegini, tidak istiqamahkah saya? Mungkin jawapannya iya bagi mereka. Tapi saya bukanlah seperti yang mereka itu gambarkan. Saya berseluar jeans atau apa saja tapi masih berkemeja -T labuh. Saya tahu di mana dan apa yang perlu saya jaga.

Kesimpulan yang hendak saya sampaikan, siapalah kita hendak menentukan istiqamah atau tidaknya seseorang itu. Itu antara dia dan Allah. Dan bagi kita yang diberikan nikmat tahu dan sedar apa tanggungjawab kita terhadap diri kita, hendaklah sentiasa ingat apa dan di mana batasan kita. Dan bersikap terbukalah terhadap teguran kawan-kawan jika kita berbuat salah. Mereka menegur kerana mereka sayangkan kita. Begitu juga tanggungjawab kita jika kawan kita berbuat salah. Sungguhpun tidak dapat mengubah terus mereka, setidak-tidaknya kita mengingatkan dan mendoakan yang terbaik.

Wassalam.

Friday, February 5, 2010

Segalanya bermula di sini

Assalamualaikum wbt.

Saya agak kepenatan sejak kebelakangan ini.Corak kehidupan saya sungguh berbeza berbanding dulu.Kalau dulu saya boleh pulang ke rumah sekitar jam 2 petang tapi kini waktu itu saya masih lagi menyiapkan segala macam tugasan.Pun begitu,hati saya terasa tenang. Mungkin kerana persekitaran atau pihak pengurusan yang sentiasa memahami. Jauh di sudut hati, saya merasakan sekolah ini adalah sekolah saya. Maka dengan itu, saya berharap semoga segalanya bermula di sini.

Wassalam.

Tuesday, January 5, 2010

Rindu dalam tawa

Assalamualaikum wbt.
Tiga hari berada di sekolah baru telah mendedahkan saya dengan pelbagai pengalaman baru. Maka dengan itu saya benar-benar berharap agar segalanya berterusan menjadi sesuatu yang baik. Walau benak dibebani bermacam tugasan, jauh di sudut hati saya gembira dengan apa yang telah ditetapkan. Dengan erti kata lain, saya memang ikhlas melaksanakan setiap tugasan atas rasa tanggungjawab. Entah mengapa..perasaan saya amat berbeza berbanding dulu.

Pun begitu, ada sesuatu yang membuat saya merasa kehilangan. Pastinya saat-saat terindah bersama teman-teman yang mungkin saya tidak akan ketemu di sini. Alangkah rindunya saya pada mereka, rindu pada gelak ketawa, rindu pada gurau senda, rindu pada usikan...Sesungguhnya saya mohon agar mereka semua sentiasa dirahmati...Moga masih ada kelapangan untuk bersua pada suatu masa yang akan datang.

Wassalam.